Susahkan nak maafkan orang? Ya.. Bukan mudah hendak memaafkan orang yang telah melukakan kita. Yang mungkin memfitnah kita. Yang mungkin menyebar cerita-cerita palsu fasal kita. Yang suka membuat spekulasi dan cerita itu dan ini berkenaan kita. Yang tikam kita dari belakang. Yang khianat kita. Yang tak habis-habis cari fasal dengan kita. Yang itu, yang ini, yang begitu dan yang begini.
Memang susah hendak memaafkan.
Lebih-lebih lagi apabila kita sudah cuba berlapang dada, berhenti dari meneruskan sengketa, bahkan menghulurkan tangan meminta kemaafan kalau-kalau ini semua dimulakan oleh diri kita, tetapi kita tidak dilayan bahkan semakin menjadi-jadi pula kebencian mereka terhadap kita.
Memang susah. .. Tetapi berikanlah kemaafan. Walaupun sukar.
Lihatlah dia.
Dia - Rasulullah SAW. Lihatlah.
Siapa yang tidak kenal akan Abu Jahal dan sengeketanya terhadap Rasulullah SAW. Abu Jahal pernah mencampak perut unta pada tengkuk baginda saat Rasulullah SAW sedang sujud di sekitar Ka’bah. Hingga Fatimah RH menangis melihat keadaan Rasulullah SAW.
Tetapi Rasulullah SAW pada suatu hari, pernah berdoa kepada Allah SWT:
“Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan islamnya salah satu dari kedua hambaMu ini, Umar Al-Khattab dan Amru ibn Hisyam(nama sebenar Abu Jahal)”
Mengapa masih didoakan Abu Jahal?
Siapa yang tidak tahu akan tindakan Kaum Taif kepada Rasulullah SAW. Hingga pecah kaki baginda berdarah dibaling batu tanpa belas kasihan oleh penduduk tempat itu.
Tetapi apakah yang Rasulullah buat ketika peluang menghapuskan kaum itu tiba?
“Jangan. Moga-moga dari tulang sulbi mereka nanti, akan muncul manusia-manusia yang beriman kepada Allah SWT.”
Mengapa masih didoakan mereka dengan kebaikan?
Ketika kepala baginda dihentam batu saat kaum musyrikin Makkah bersungguh-sungguh menyambar peluang untuk membunuh baginda di medan Uhud, hingga menyebabkan darah baginda tumpah mengalir.
Tetapi apakah yang baginda sebutkan pada saat yang menyakitkan itu?
“Ya Allah, ampunilah ummatku ini, sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui.”
Satu hari, Thufail bin Amr RA datang kepada Rasulullah SAW dan memberitahu bahawa kaumnya, Bani Daus tidak mahu beriman kepada Rasulullah SAW walaupun sudah sekitar 3-4 tahun di dakwah.
Tetapi apakah yang baginda sebutkan?
Baginda mengangkat kedua tangan baginda dan berdoa: “Allahumahdi dausan. Allahumahdi dausan.” bermaksud: Ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus, ya Allah, berikanlah hidayah kepada Bani Daus.
Pada suatu hari, jiran baginda, seorang yahudi yang keras membenci baginda, menabur duri pada jalan baginda, kuat menghina baginda, jatuh sakit.
Apakah yang baginda lakukan? Adakah baginda bergembira dengan penderitaannya?
Baginda berizarah, bahkan membantu mempermudahkan urusan yahudi tersebut.
Abdullah ibn Ubai ibn Salul, kepala munafiq, yang sering memfitnah baginda, membenci baginda, menikam belakang tubuh baginda(khianat) dan amat keras permusuhannya dengan baginda serta sering menyukarkan baginda.
Orang ini, pada hari kematiannya, apakah yang Rasulullah SAW lakukan?
Baginda mendoakannya. Hingga Allah menegur Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa kalau Rasulullah SAW mendoakan Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini 70 kali sekalipun, tetap Abdullah ibn Ubai ibn Salul ini tempatnya di neraka.
Apakah yang Rasulullah SAW lakukan apabila mendengar teguran itu?
“Maka aku akan mendoakannya lebih dari 70 kali.”
Hingga Allah menegur baginda sekali lagi, dengan tegas menyatakan, berapa banyak kali pun doa baginda, Abdullah ibn Ubai ibn Salul tetap di neraka.
Saat baginda berjaya menawan Makkah, kembali kepada mereka yang selama ini mneyeksa baginda, berada di atas mereka yang selama ini memerangi baginda, semua yang ada di Makkah risau dengan apakah keputusan Rasulullah SAW terhadap mereka kerana teringat segala kesalahan mereka kepada Rasulullah SAW.
Tetapi apakah yang baginda lakukan saat itu?
“Sesungguhnya pada hari ini, kamu semua tidak akan diapa-apakan. Aku ampunkan kalian.”
Bagaimanakah kamu wahai yang mengakui dirinya cinta kepada Rasulullah?
Bagaimanakah kita wahai orang-orang yang mengakui bahawa dirinya mencintai Rasulullah SAW?
Tidakkah kita melihat apakah yang ditunjukkan oleh baginda?
Memang. Sedih dan bengang, marah dan kecewa bukan benda yang senang kita lupakan. Bukan mudah untuk kita hilangkan.
Tetapi kita mulakan dengan step pertama.
Memaafkan. Memaafkan dengan dada yang lapang.
InsyaAllah yang lain akan datang kemudian. Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita insyaAllah. Pasti.
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…” Surah Ali-Imran ayat 159.
Cukuplah segala kebencian ini, sengketa ini. Jadilah orang yang memulakan kebaikan.
Dia tikam kamu. Kamu tikam dia semula. Dia tikam kamu lagi. Kamu balas balik. Kawan kamu marah dia tikam kamu. Kawan dia pula marah bila tengok kamu tikam dia balik. Kawan dia tikam kamu. Kawan kamu tikam dia. Kawan dia tikam kawan kamu. Kawan kamu tikam kawan dia.
Siapa yang suka benda ini?
Cukuplah semua ini. Tidakkah kita merasakan ‘kehitaman’ jiwa kita di dalam hal ini?
Janganlah. Biarlah orang lain tidak peduli dengan kehitaman jiwa mereka. Biarlah orang lain tidak peduli dengan ‘dosa-dosa’ seperti menghina, memfitnah, buat spekulasi yang bukan-bukan, mengumpat dan sebagainya. Biarlah dan biarlah. Tetapi kita tidak sekali demikian. Jangan jadi demikian.
Mengapa melemparkan diri sendiri ke neraka?
Tidakkah kita ini manusia-manusia yang inginkan keredhaan Allah dan mempercayai janji-janjiNya?
Penutup: Lapangkanlah jiwa. Tenangkanlah hati.
Kunci kelapangan jiwa dan ketenangan hati adalah di dalam roh kita ini tiada kebencian terhadap orang lain. Dan ia adalah salah satu dari kunci-kunci syurga.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama. Tiba-tiba baginda bersabda: “Akan datang selepas ini seorang ahli syurga.” Maka muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya lagi juga sama. Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama.
Akhirnya seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu, dan tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya. Selama tiga hari, sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang hebat, yang besar,yang menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya tidur di rumah lelaki itu.
Lelaki itu menjawab: “Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang menakjubkan. Biasa-biasa sahaja.”
Sambung lelaki itu: “Tetapi di dalam hatiku tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku.”
Tidakkah kita memerhatikan?
Lepaskanlah kebencian, kesakitan hati, kemarahan diri.
Maafkanlah.
Lapangkanlah jiwa, tenangkanlah hati.